PETALING JAYA, (MLP) - Zarinah Abdul Majid berulang-alik ke Mahkamah Syariah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuang perkataan “Islam” di kad pengenalannya kerana dia tidak mengamalkan kepercayaan agama itu.
Menurut The Malaysian Insider, Zarinah telah berbuat demikian selama tujuh tahun, namun tiada hasil.
Pekerja kilang 32 tahun ini akhirnya membuat keputusan tegas untuk berkahwin dengan lelaki dicintainya, seorang penganut Hindu di sebuah kuil.
Pada hari Ahad lepas, Zarinah diikat “thali” di leher oleh kekasihnya selama tujuh tahun dalam satu upacara perkahwinan Hindu di Petaling Jaya.
Beliau menjemput 400 tetamu dan membelanjakan lebih RM30,000 untuk majlis tersebut.
Tetapi majlis perkahwinan itu tidak berjalan lancar apabila penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang ditemani oleh pegawai polis menahannya untuk menyoal tentang status agamanya.
Persatuan Hindu Sangam Malaysia, Majlis Peguam dan Badan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dan badan bukan kerajaan (NGO) menyelar Jais dan polis kerana “menceroboh” kuil dan mengganggu majlis perkahwinan itu.
Sungguhpun Zarinah ditahan dan hanya dibebaskan pada pukul 2 petang, dia berkata tidak akan mengalah. Dia turut berkata bahawa dia mengamalkan kepercayaan Hindu dan mengikut adat serta budayanya.
Ibu bapa Zarinah beragama Hindu ketika berkahwin pada 1980. Ayahnya bernama S Mahendran dan ibunya S Vasandamma.
Ayah Zarinah memasuki agama Islam dengan bantuan saudaranya, namun ibunya kekal beragama Hindu.
Oleh sebab itu, Zarinah dan tiga adik beradiknya mempunyai status agama Islam dalam surat beranak dan kad pengenalan.
Zarinah berkata, selepas kelahiran adik lelakinya pada 1990, ayahnya meninggalkan rumah dan tidak pernah kembali.
Ibunya yang buta huruf tidak tahu yang anak-anaknya semua beragama Islam.
Zarinah berkata, sejak 20 tahun lalu keluarganya berjumpa dengan ramai peguam untuk mencari jalan penyelesaian tetapi semuanya gagal.
Perbelanjaan kira-kira RM20,000 untuk yuran guaman telah digunakan untuk menukar status agamanya, tetapi masih tidak berhasil sehingga hari ini.
Sebelum ditahan ke balai polis Shah Alam, suaminya sempat mengikat ‘thali’ sebagai tanda sudah berkahwin.
Menurut Zarinah, semua tetamunya terkejut. Rakan-rakan Islamnya turut berasa pegawai Jais seharusnya membuat siasatan selepas upacara perkahwinan tersebut dijalankan.
Tetamu-tetamunya tidak sempat menjamah selera, tetapi meninggalkan kuil tersebut selepas Zarinah ditahan.
Walaupun dia tahu siapa yang telah membuat laporan, dia melihat kejadian ini sebagai 'rahmat; dari Tuhan.
Sementara itu, Jais menafikan menyerbu atau mengganggu majlis perkahwinan Zarinah.
Timbalan Ketua Pengarah Jais, Ahmad Zaki Arshad, berkata pihaknya datang ke kuil hanya untuk menjalankan siasatan dengan mengambil keterangan pengantin perempuan untuk mengesahkan taraf agamanya.
Beliau berkata, tindakan Jais itu mengikut prosedur selepas menerima aduan daripada orang ramai.
Ahmad Zaki berkata yang Jais tidak buat serbuan atau operasi. Dia memberitahu The Malaysian Insider bahawa mereka hanya datang buat pemeriksaan biasa sahaja tanya pemilik kad pengenalan betulkah dia beragama Islam.
Zarinah berkata, Jais menyuruhnya menukar nama dan agama untuk mengelakkan dituduh murtad.
Namun begitu, Zarinah telahpun cuba berbuat demikian selama tujuh tahun dan terasa buntu apabila tiada apa-apa yang dapat mengubahkan status agamanya tersebut.
Selepas kejadian ini, Zarinah turut berkata bahawa dia mungkin akan didakwa menghina Islam jika masalah ini tidak diselesaikan dengan segera.
No comments:
Post a Comment