In Allah We Trust

In Allah We Trust
A New Hope

Tuesday, September 23, 2014

Azmin akan kaji semula perjanjian Kidex, isu Bible dibuat Khalid -



Menteri besar Selangor yang baharu Mohamed Azmin Ali berjanji akan mengkaji semula dan mendedahkan kepada umum perjanjian Lebuhraya Kidex dan isu Bible yang dibuat semasa pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Azmin berkata, beliau akan mendapatkan taklimat daripada pihak berkenaan mengenai perjanjian yang dimeterai sebelum mengambil langkah seterusnya.
"Saya akan mendapatkan taklimat daripada pihak berkenaan dan lihat cara terbaik untuk menanganinya," kata Azmin pada sidang media di rumah ibunya di Kampung Kelang Gate Baru, hari ini.


Antara perjanjian yang akan dikaji semula adalah melibatkan perjanjian air, pembinaan lebuh raya kontroversi Kidex dan juga isu melibatkan rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban.
Azmin berkata, langkah mengkaji semula tersebut perlu diteliti dan diambil bagi mengelakkan sebarang spekulasi selepas mengambil alih pentadbiran daripada Khalid.
"Untuk elak sebarang spekulasi, kita mesti pastikan semua perjanjian didedah kepada umum dan pembayar cukai," katanya.
Beliau berkata, langkah tersebut demi memastikan sebarang perjanjian yang dibuat akan memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat Selangor dan dilaksanakan secara telus.
"Kita perlu pastikan semua perjanjian dibuat dengan telus dan perlu dilaksanakan sebaik ia dimeterai," katanya.
Khalid semasa dilantik sebagai menteri besar penggal kedua banyak dikritik ekoran caranya mentadbir Selangor yang gagal merujuk PKR atau pimpinan Pakatan lain.
Caranya menguruskan beberapa isu turut dikritik termasuk catuan air, rampasan Bible bahasa Malaysia dan Iban oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Lebuhraya Kidex.
Pelantikan Azmin hari ini sebagai menteri besar Selangor meredakan kemelut yang berlarutan hampir dua bulan selepas Khalid enggan melepaskan jawatannya.
Tindakan Khalid juga menyebabkan parti dalam PR berbeza pendapat, PAS tidak senada dengan PKR dan DAP dalam langkah menyingkirkan Khalid. – 23 September, 2014.

No comments:

Post a Comment