In Allah We Trust
Monday, January 27, 2014
Serangan gereja: Ini baru permulaan, kata pemimpin Sarawak
SARAWAK: Dua ahli politik Sarawak memberi amaran serangan bom Molotov Cocktail ke atas gereja di Pulau Pinang semalam hanya "permulaan bagi lebih banyak yang akan berlaku" dengan salah seorang berkata insiden tersebut berlaku disebabkan perdana menteri terlalu "lemah".
Menteri Kemajuan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing, yang terkenal dengan kelantangannya berkata, serangan tersebut membimbangkan kerana ia jelas amaran kepada penganut Kristian untuk menghentikan perjuangan menuntut penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu.
"Saya sudah katakan sebelum ini, awan mendung sudah tiba dan ini baru permulaan. Sekarang sudah makin merisaukan dengan laporan keganasan sebegini," kata pemimpin politik Sarawak itu mengulas letupan di luar gereja Pulau Pinang semalam.
Masing berharap keganasan ini tidak akan bertambah buruk sehingga tidak terkawal.
Minggu lalu, dalam tindak balas terhadap perintah Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan perkataan seperti Allah adalah eksklusif untuk orang Islam sahaja, Masing berkata, perintah tersebut adalah petanda 'awan mendung semakin hampir'.
Masing yang juga presiden parti komponen Barisan Nasional, Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata, keadaan semakin muram bagi penganut Kristian di negara yang sepatutnya mementingkan toleransi antara agama, dan kini dengan jelas ingin memastikan perkataan Allah hanya untuk orang Muslim.
Ketua PKR Sarawak, Baru Bian yang memberikan reaksi lebih tajam, berkata: "Inilah yang berlaku apabila perdana menteri kita lemah."
Beliau mengecam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana membisu dalam tempoh yang lama berkaitan isu kalimah Allah sehingga memberikan peluang kepada golongan kanan Melayu dan ahli Umno ambil kesempatan untuk mengipas lagi api perselisihan antara agama.
Najib cuba memecahkan tembok membisunya dengan mengeluarkan kenyataan bahawa penyelesaian 10-perkara masih berkuatkuasa di Sabah dan Sarawak menyebabkan ia masih tertakluk kepada enakmen negeri masing-masing, namun kenyataan tersebut hanya menarik lebih kritikan.
Dua ahli Parlimen Islam yang meneraju usaha membina hubungan baik antara Islam dan Kristian berhubung isu kalimah Allah, menggesa penganut Kristian supaya tidak terpedaya dengan provokasi.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin dalam usaha meyakinkan penganut Katolik supaya bersabar dan berkata, bom Molotov tersebut dilemparkan oleh mereka yang ingin mewujudkan ketegangan kaum dan agama.
"Tindakan tersebut tidak bertanggungjawab dan tidak muslimah. Setiap orang Islam harus mengutuk perbuatan tersebut dan sama sekali tidak membenarkan agen provokatur untuk memburukkan nama Islam dan menukarkannya kepada agama permusuhan dan kebencian," kata Khalid.
Mereka yang bertanggungjawab, katanya, menggunakan nama Islam untuk meningkatkan ketegangan antara agama supaya dapat 'bertahan dalam suasana politik'.
"Sudah saya katakan sebelum ini. Sesetengah parti ingin mewujudkan ketegangan kaum dan polarisasi agama supaya ia kelihatan mereka menjaga kepentingan rakyat.
"Mereka menggunakan agama Islam untuk niat jahat dan tidak mengikut ajaran Islam.
Hanipa berkata, insiden tersebut penuh dengan niat jahat dan ia dilakukan oleh 'pihak tidak bertanggungjawab' yang ingin menghasut.
"Saya berharap bukan orang Islam yang bertanggungjawab. Agama Islam tidak memaafkan atau membenarkan apa-apa provokasi," katanya.
Beliau percaya insiden tersebut dan provokasi lain yang berkaitan dengan isu kalimah Allah adalah taktik mengalihkan perhatian rakyat daripada isu penting seperti kos hidup yang meningkat.
Hanipa dan Khalid adalah pemimpin PAS yang giat berusaha mengadakan dialog dengan penganut Kristian bersama ahli parti mereka, Datuk Mujahid Yusof Rawa, sejak isu ini meletup pada 2009.
Ketegangan semakin meningkat di Pulau Pinang Ahad lalu apabila sepanduk dengan tulisan, "Allah Maha Besar, Jesus anak kepada Allah," digantung di luar lima gereja di Pulau Pinang - gereja Victory Lutheran, gereja St John Britto Catholic, gereja Church of the Immaculate Conception dan gereja Church of the Assumption dan Church of the Nativity of the Blessed Virgin Mary di Butterworth.
Serangan bom Molotov di gereja Church of the Assumption di Lebuh Farquhar, Pulau Pinang Ahad lalu, tiba hanya sebulan selepas permohonan gereja Katolik kepada Mahkamah Persekutuan.
Gereja tersebut mengemukakan rayuan atas keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan mingguan Katolik, Herald menggunakan perkataan Allah.
Susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009, sebanyak 10 gereja dan beberapa masjid diserang atau dirosakkan di seluruh negara.
Tiga gereja di Kuala Lumpur juga diserang bom Molotov. --The Malaysian Insider
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment